Thursday, 1 October 2015

............
............semoga lpas ni boleh mngurangkn rasa sedih n stress......
entry from baby centre;
-
-

Bagaimanakah saya boleh menangani kemurungan?

Berehatlah 
Tahan keinginan untuk membuat seberapa banyak tugas yang anda boleh sebelum kelahiran bayi. Letakkan diri anda di tempat teratas dalam senarai perkara yang anda perlu buat. Anda tidak akan mempunyai banyak masa untuk diri sendiri sebaik sahaja bayi anda lahir. Bacalah buku, bersarapan di katil, atau keluar dengan rakan. Menjaga diri sendiri adalah satu perkara yang penting dalam penjagaan bayi. 

Bersenam 
Walaupun ini bukanlah masa yang terbaik untuk memulakan regim senaman yang berat, senaman boleh membantu memperbaiki mood anda. Berenang, berjalan dan kelas senaman pranatal selamat dilakukan semasa hamil. Tahu lebih lanjut mengenai senaman yang disyorkan sepanjang kehamilan dan sasarkan untuk membuatnya tiga kali seminggu. 

Luahkan 
Berbincanglah dengan suami anda dengan jujur. Anda perlukan sokongannya, dan dia hanya boleh melakukan perkara ini jika anda berterus terang. Anda juga boleh meluahkan kebimbangan anda mengenai masa depan dengan rakan-rakan dan ahli keluarga. 

Cubalah terapi atau kaunseling 
Jika anda telah melakukan segala-galanya untuk mengeluarkan diri daripada kemurungan ini selama dua minggu tetapi tidak berhasil, berjumpa dengan ahli terapi atau kaunseling mungkin membantu. Anda perlu mendapatkan seseorang yang boleh dipercayai dan yang anda rasa selamat untuk bercakap tentang hal ini. 

Bilakah saya patut bimbang?

Jika anda rasa seperti hendak membunuh diri, atau hilang pertimbangan, tidak dapat menjalankan tanggung jawab harian, atau jika anda mengalami serangan panik, berbincanglah dengan doktor anda dengan segera. Ini sangat penting terutamanya jika anda dapati sukar untuk menjaga diri sendiri dan tidak lalu makan, kerana ini boleh menjejaskan perkembangan bayi dalam kandungan anda. 

Berjumpa ahli terapi atau psikiatri bukan tanda kelemahan. Ia adalah tanda bahawa anda adalah seorang ibu yang baik, yang sanggup mengambil apa sahaja langkah yang perlu untuk menjamin keselamatan dan kesihatan diri dan bayinya. 

Jika kesemua cara di atas tidak berkesan dan kemurungan membuat hidup anda semakin sukar, berbincanglah dengan doktor mengenai ubat-ubatan. Memanglah anda boleh mengambil ubat anti-kemurungan semasa hamil, tetapi anda perlukan bantuan untuk menimbangkan kebaikan dan keburukannya dengan berhati-hati. Ini kerana, terdapat kemungkinan kecil yang kesihatan anda dan bayi boleh terjejas akibatnya. 

Ubat anti-kemurungan yang biasa disarankan oleh doktor ialah fluoxetine, yang mempunyai jenama Prozac. Ia merupakan sejenis ubat anti-kemurungan yang dipanggil selective serotonin reuptake inhibitors (SSRIs). 

SSRIs dipercayai meningkatkan risiko kecacatan jantung pada bayi. Dipercayai juga bahawa mengambil beberapa jenis ubat anti-kemurungan terutamanya venlafaxine (Efaxor) atau paroxetine (Seroxat), atau mengambil gabungan beberapa jenis ubat anti-kemurungan, boleh meningkatkan sedikit kemungkinan untuk gugur. Tetapi kemurungan yang teruk juga tidak baik untuk kesihatan anda dan bayi. Bincanglah dengan doktor anda mengenai apa yang terbaik untuk anda. 

Bagaimana pula selepas saya bersalin?

Kajian menunjukkan ada kaitan di antara kemurungan semasa hamil dan kemurungan selepas bersalin, tetapi ini tidak bermakna jika anda murung semasa hamil, anda akan murung juga selepas bersalin. 

Pakar masih mencari jalan terbaik untuk membuat saringan ke atas wanita yang mengalami kemurungan pranatal supaya mereka dapat mengenalpasti siapakah yang berisiko tinggi mengalami kemurungan selepas bersalin. Dengan mempunyai kumpulan sokongan sekarang, yang terdiri daripada rakan-rakan, ahli keluarga, suami, doktor dan ahli terapi, bermakna bantuan telahpun tersedia jika anda memerlukannya selepas bersalin. 


http://www.babycenter.com.my/a1052283/kemurungan-semasa-hamil#ixzz3nJYjQ79A

No comments:

Post a Comment